Monday, 20 October 2014

Petua nak menyembuhkan penyakit:

Petua Menyembuhkan penyakit:
Ha...hari ini saya nak post tentang petua nak menyembhkan penyakit pulak.
hmm...selalunya,tiap tahun pasti kita akan berjumpa doktor disebabkan penyakit yang kamu hadapi,
Kamu semua tak payah susah-susah pon la,korung cuba ikut petua ini.InsyaAllah pasti sembuh :)

Demam
  • Ambil makanan yang lembut seperti bubur dan banyakkan meminum air untuk menggantikan cecair badan yang hilang.
  • Rehat sebanyak yang mungkin.
  • Sejukkan dahi dan badan dengan tuala basah sehingga  demam berkurangan.
  • Basuh segenggam kacang pea dan biarkan ia kering. Panaskan tanpa minyak, kemudian letakkan kacang pea dalam cawan, tambahkan air sejuk dan biarkan untuk seketika sebelum diminum.
Selsema
  • Tingkatkan pengambilan air dan rehat yang mencukupi.
  • Ambil banyak buah-buahan (atau jus) seperti  oren atau jambu batu.
  • Untuk melegakan hidung yang tersumbat, hidu bau bawang putih yang ditumbuk atau dipotong beberapa kali sehari.
  • Sup ayam juga bagus untuk melegakan selsema. Cara yang lain untuk melegakan selsema ialah dengan menumbuk halia dan mengambil 1 sudu teh jus halia. Maniskan dengan madu dan ambil 3 kali sehari untuk 4 hari.
  • (Ramai beranggapan bahawa ‘paracetamol’ merupakan ubat mujarab untuk demam dan selsema namun ia cuma untuk melegakan sahaja, ‘paracetamol’ juga telah dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang untuk jangka masa yang panjang)
Sakit Kepala dan Migrain
  • Rebus beberapa kangkung dalam beberapa minit. Tuangkan air rebusan kangkung dalam gelas dan kemudian tambahkan secubit garam, kacau dan minum.
  • Genggam beberapa ulas bawang putih dan gosokkan pada dahi.
  • Ambil sekeping ubi kentang yang nipis dipotong dan letakkan pada dahi. Ganti dengan kepingan kentang yang lain selepas kepingan yang tadi kering.
Sakit tekak
  • Letakkan satu sudu teh garam dalam secawan air suam. Kemudian kumurkan dengan air itu.
Cirit-birit
  • Banyakkan meminum air bagi menggantikan cecair badan yang hilang. Garam ORT juga dapat membantu
  • Minum teh kosong tanpa gula juga boleh melegakan cirit birit
  • Elakkan pengambilan susu ketika cirit birit
  • (Ketika cirit birit, dinasihatkan supaya kita minum secara sedikit-sedikit daripada meminum air dengan banyak dalam satu masa, ini kerana perut kita yang kejang tidak menerima air yang banyak dalam satu masa dan akan menyebabkan kita muntah)

Tips memikat hati mak mertua.

1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunangannya

Mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.

2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama

Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain batik atau pelikat sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mertua anda

Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.

4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka

Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.

5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya

Dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.

6. Berkongsi minat dengannya

Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.

7. Ingat hari-hari penting yang berkaitan dengan mereka

Contohnya seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

8. Paling penting, jaga pertuturan anda

Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.

9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut

Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk, kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.

10. Cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri

Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka, pastikan anda sentiasa menghubungi mereka walaupun sekadar bertanya khabar sahaja.


kisah yang terukir

“Mahukah engkau menjadi isteriku?” Soal Azman.
Azrina yang mendengar lontaran soalan itu terkejut sebentar. Dia tidak menyangka soalan itu akan muncul dalam ruang nafas waktunya.
Azman mula berkenalan dengan Azrina ketika dia belajar dan bekerja di salah sebuah bengkel di Negeri Sembilan sejak beberapa tahun yang lepas. Azman begitu serius dan bertekad untuk menikahi Azrina agar menjadi isteri yang sah sebagai pendamping hidupnya selepas ini.
Akhirnya, Azrina telah membuat keputusan dan bersetuju untuk menjadi isteri kepada Azman. Mereka tahu bahawa keputusan ini agak sukar kerana risau akan menjadi perhatian umum masyarakat kelak.
Tetapi, kerana inginkan hubungan yang halal dan cinta yang diredhai Allah SWT mereka nekad dan bersepakat untuk melalui kesusahan yang bakal dihadapi bersama-sama.
Tidak perlu didengar kata-kata serong orang.
Tidak perlu terasa ejekan menyindir.
Tidak perlu ditangisi senyuman sinis.
Kerana setiap kesusahan pasti ada kesenangannya nanti.
Setelah beberapa bulan, maka, berlangsunglah majlis perkahwinan di antara Azman dan Azrina. Majlis yang diadakan tersebut cukup sederhana. Semuanya berjalan dengan lancar sekali.
Kebetulan, seorang wartawan tempatan turut berada di majlis mereka memandang majlis perkahwinan tersebut serentak dengan jamuan hari raya Aidilfitri anjuran sebuah persatuan bengkel tempat Azman bekerja.
Pada mulanya, wartawan tersebut hanya hadir atas jemputan pihak persatuan untuk mendapatkan maklumat dan liputan semasa majlis tersebut agar dapat dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan pada keesokan harinya. Tetapi, entah mengapa dia juga amat tertarik dengan majlis perkahwinan Azman dan Azrina.
Ada sesuatu yang istimewa.
Usai majlis perkahwinan dan jamuan hari raya Aidilfitri, wartawan tersebut terus berjumpa dan sempat bertanyakan soalan kepada Azman.
“Tahniah atas perkahwinan anda berdua,” wartawan tersebut memulakan bicara.
“Tetapi, sudahkah encik berfikir masak-masak sebelum mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan ini ? Tidak risau ke dengan pandangan masyarakat sekeliling nanti ?” wartawan tersebut meneruskan bicaranya lagi.
Wartawan tersebut terkesan dihatinya apabila Azman menjawab soalan yang ditanyakan olehnya.
Siapa sangka soalan itu dijawab oleh Azman dengan senyumannya yang melebar.
Menampakkan keikhlasannya menjawab.
“Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama seperti insan normal yang lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu saya nekad mendirikan rumahtangga walaupun sedar keadaan diri tidak sempurna,” kata Azman yang kini berusia 32 tahun.
“Saya memberanikan diri melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri,” sambung Azman.
Rupa-rupanya, Azman lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas demam panas ketika berumur setahun. Perkenalannya dengan Azrina yang juga cacat anggota kaki empat tahun dulu menyemai bunga kecintaan sehingga bergelar suami isteri yang sah kini.
Cinta ini tidak mengenal siapa dan bagaimana keadaan orang itu. Apabila datangnya kesungguhan, maka, bersiap sedialah untuk mendambakan cinta yang ikhlas dan mengharungi segala onak dan duri bersama-sama. Sabar menempuh jalan dalam mengharungi ujian Tuhan.
Hanya doa itu yang menjadi penguatnya. Seringkali dilafazkannya. Doa dari al-Quran :

Cinta Suci kerna Ilahi

alt
Demi cinta suci ini,
ku pasrah pada Illahi,
agar menuntunku untuk mengharungi,
cinta insani.
Demi cinta suci ini,
ku mohon pada Illahi,
keredhaanNya pada cinta dihati,
agar segalanya dalam nur Mu Illahi.
Demi cinta suci ini,
ku layarkan doa,
agar cinta insani ini,
menjadi alat menuju Cinta Mu Illahi.
Cinta kerana Allah itu,
tiada kekecewaan,
tiada kerisauan,
tiada gundah di jiwa,
tiada ketakutan.
Cinta kerana Allah itu,
hanya keindahan,
hanya pengorbanan,
hanya kebahagiaan.
Ya Allah,
cintakan aku kepada dia yang mahu untuk membimbingku,
cintakan aku kepada dia yang mahu untuk memimpinku,
cintakan aku kepada dia yang mahu ke jannahMu.
Ya Allah,
berikanlah cintaMu kepadaku,
dan jadikanlah aku mencintai orang yang mencintaiMU,
dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMu.
Ya Allah,
jadikanlah hambaMU ini dicintai pada hati orang yang beriman,
dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman.
Ya Allah,
jadikan kami saling melengkapi,
jadikan kami saling memerlukan,
jadikan kami saling mendamaikan,
jadikan kami saling mencintai,
dalam menuju Cinta Mu.